
KLUANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10.15 pagi tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK N29 DUN Mahkota, Azurawati Wahid mengesahkan perkara itu dalam satu pengumuman di pusat penamaan calon di pekarangan Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.
Menurutnya, calon yang bertanding secara rasmi dalam PRK itu ialah calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dan Mohd Haizan Jaafar mewakili PN.
Terdahulu, Azurawati memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima dua borang selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10.15 pagi.
“Syed Hussien menghantar kertas penamaan calon pada pukul 9 pagi manakala Mohd Haizan yang menggunakan nama kempen sebagai Coach Haizan menyerahkan kertas penamaan calon pada pukul 9.05 pagi. Selepas membuat semakan, saya berpuas hati dan tiada kertas penamaan calon ditolak,” katanya.
Sebelum ini, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakal tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 14 dan 24 September.