
KLUANG – “Saya rasa jangan jaga tepi kain orang,” bidas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kepada Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang mendakwa UMNO menggunakan DAP sebagai ‘alat’ untuk menarik pengundi kaum Cina.
Ka Siong berkata peranan itu pembangkang itu hanyalah sekadar mahu melemahkan semangat jentera parti dan ‘hasutan’ kepada pengundi.
“Saya rasa jangan jaga tepi kain orang. Bagi saya parti masing-masing akan bekerja kuat untuk memenangkan calon.
“Saya tak kisah apa mereka nak cakap kalau pihak di sana memberi pandangan yang berlainan. Itu adalah tugas mereka untuk mematahkan semangat kita.
“Kita sudah berkali-kali berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN), saya rasa ini kita tidak gentar pun. Yang penting bagi saya kita bekerja kuat,” katanya.
Beliau ketika sesi sidang media ketika bersama calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah di Kafe Cawan Mas di sini hari ini.
Azman mengeluarkan kenyataan itu pada hari pertama kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Tengah disini.
Azman juga berkata, kerajaan hari ini berbentuk “silo” kerana Kerajaan Perpaduan di Kerajaan Persekutuan manakala di Johor pula hanya melibatkan Kerajaan Barisan Nasional semata-mata tanpa campur tangan parti komponen lain.
Katanya, masyarakat Melayu juga ditipu habis-habisan bahawa tidak berlaku “perkahwinan” antara UMNO dan DAP.
Dalam pada itu, Ka Siong turut menyeru agar pengundi di kawasan itu bagi memberikan sokongan dan mendoakan agar kemenangan berpihak kepada Syed Hussien.
Ujarnya lagi, masyarakat Cina khususnya menerima baik pencalonan Syed Hussien adalah bonus kepada beliau yang turut fasih berbahasa Mandarin.
“Saya dengan rendah diri memohon doa restu setiap pengundi untuk memberikan sokongan kepada kita.
“Itu tugas kita, jadi penerimaan masyarakat Cina yang rata-ratanya turun bersama dengan calon menganggapnya adalah calon yang berwibawa yang mempunyai satu wajah tampan dari pandangan ‘aunty-aunty’ dan juga gadis-gadis, jadi ini adalah kelebihan beliau yang suka senyum serta mempunyai perwatakan yang agak unik dan tidak kekok berjenaka dengan sesiapa pun,” katanya.







