
KLUANG – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menafikan terlibat secara langsung dalam membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, tidak wujud sebarang perbincangan mengenai perkara tersebut seperti yang didedahkan oleh
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Muda sangat jelas dengan ketetapan untuk tidak mengambil bahagian dalam PRK DUN Mahkota. Ini fokus yang jelas kerana sejak saya memangku jawatan sebagai presiden, saya mahu bina parti ini melalui Kempen Rejuvenasi Muda.
“Saya mahu ahli Muda masuk sistem pengkaderan, Parlimen-Parlimen ditubuhkan di seluruh Malaysia dan beri nilai tambah kepada urusan dalaman parti,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.

Mengulas lanjut, Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, sebarang persoalan tentang penyertaan Muda dalam mana-mana blok parti politik tidak dibincangkan buat masa ini.
“Saya faham ada persoalan-persoalan tentang penyertaan Muda dalam blok parti politik, tetapi jujurnya jika ada perkembangan dalam hal ini, sudah tentu saya akan uruskan pengumuman secara rasmi. Buat masa ini, memang tidak ada pun perbincangan tentang hal ini,” katanya.
Semalam, Azmin Ali dalam ceramah kelompok gabungan pembangkang memaklumkan Muda bersetuju membantu PN berkempen dalam PRK Mahkota bagi meraih undi orang muda memandangkan lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada kumpulan itu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, perbincangan bersama Muda berkenaan penyertaan parti itu dalam PN akan dibincangkan selepas PRK Mahkota.
Sementara itu. Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi berkata, Muda ketika ini terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dan rundingan dengan mana-mana pihak.

“Muda ketika ini memberi fokus kepada pembangunan semula parti selepas melalui siri-siri pilihan raya, selain persiapan bagi mengadakan pemilihan parti seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Parti.
“Namun, ia mestilah dibincang dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Tidak ada sebarang perbincangan dan komitmen untuk membantu mana-mana parti dalam PRK yang sedang berlangsung,” katanya.