
TAPAH – Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak akan melancarkan manifesto dengan pelbagai janji bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, sebaliknya hanya akan memberikan satu tawaran iaitu komitmen wakil rakyat bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.
Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisatif terbabit diambil selepas pihaknya mempertimbangkan terdapat keperluan untuk gabungan itu terus memupuk kesedaran dalam kalangan pengundi.
Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu menegaskan, PN memilih untuk membangkitkan perkara yang dekat dengan pengundi dengan peranan itu akan diteruskan hingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Kita ada tekad yang dibuat oleh calon (mewakili PN), Abdul Muhaimin Malek dan akan dibawa bersama oleh semua jentera parti. Kami akan bangkitkan perkara yang dekat di hati rakyat.
“(Paling utama) kita bukan bawa calon (semata-mata) tetapi yang bertanding adalah seluruh jentera PN yang akan bekerjasama dalam memastikan rakyat dalam kedudukan yang lebih baik,” katanya pada ceramah mega Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, pada Sabtu.
Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad; Penolong Setiausaha Agung II, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Yang Dipertua Pas negeri, Razman Zakaria.
Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Misbahul Munir Masduki dan Tan Sri Annuar Musa serta Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sementara itu, Ahmad Faizal merayu pengundi menetap di luar Ayer Kuning untuk pulang menunaikan tanggungjawab pada PRK kerusi itu, Sabtu depan.
Bekas Menteri Besar Perak itu juga menegaskan pengundi perlu menggunakan peluang berkenaan sebagai referendum terhadap tindakan kerajaan sedia ada.
“Saya faham ramai orang luar agak susah hendak balik, terutama selepas Aidilfitri. Namun, selepas kita hubungi mereka nampaknya ada maklum balas, selain mengharapkan ia adalah positif.
“Ramai rasa kalau tak balik mengundi pun tidak mengapa kerana tiada perubahan besar (akan berlaku). Namun, ia adalah platform menyatakan mesej jelas mengenai kebimbanga dan kegusaran rakyat. Saya gesa pengundi menetap di luar Ayer Kuning balik mengundi. (Ini) bukan untuk rakyat Ayer Kuning sahaja, tetapi seluruh negara,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Feb lepas.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah seramai 66,318 orang terdiri daripada 31,897 pengundi biasa, 582 anggota polis serta pasangan.
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Ini adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak; PRK Parlimen Kemaman, Terengganu; PRK DUN Kuala Kubu Baharu; PRK Sungai Bakap; PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota, Johor.









