SANDAKAN – Kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning membuktikan bahawa usaha Kerajaan MADANI dan Kerajaan Perpaduan di Perak berjaya menawan hati pengundi, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.
“Alhamdulillah, kemenangan di Ayer Kuning membuktikan bahawa usaha kita menambat dan memenangi hati para pengundi berjaya.
“Jumlah majoriti meningkat manakala undi yang diterima pihak lawan Perikatan Nasional (PN) telah merudum,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim, di sini pada Ahad.
Menurut beliau, daripada 20 daerah mengundi di Ayer Kuning 19 dimenangi oleh Kerajaan Perpaduan satu pencapaian yang disifatkannya sebagai petanda positif.
Namun, beliau mengingatkan agar semua pihak tidak leka dengan kejayaan ini.
“Banyak yang perlu diusahakan untuk memastikan kemenangan ini dapat diperkukuhkan. Cara kempen yang sihat juga menjadi antara faktor utama mengapa pengundi memilih Perpaduan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut membandingkan pendekatan Kerajaan Perpaduan dengan pihak lawan yang menurutnya memilih topik-topik yang tidak bertepatan dengan kehendak dan cita rasa penduduk tempatan.
“Kita lihat pihak lawan membawa isu-isu yang kurang dirasai oleh penduduk, sedangkan usaha kita di bawah Kerajaan MADANI berfokus kepada keperluan sebenar rakyat. Ini yang perlu kita teruskan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa meneliti dan memantau keadaan di negeri lain termasuk Sabah bagi memastikan hala tuju pembangunan negara kekal konsisten dan berdaya saing.




