
TAPAH – “Tiada yang lain, cuma Barisan Nasional (BN) sahaja parti keramat kami dari dahulu sehingga kini.”
Itu janji masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam, Ayer Kuning, Tapah yang tetap teguh setia di belakang kepimpinan parti BN.
Tok Batin, Sabri Bahsempadan, 43, berkata, parti BN yang banyak berjasa dari dahulu sehingga kini terutama dalam menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini, besar harapan kami agar sekiranya calon BN Ayer Kuning, Mohamad Yusri Bakir atau lebih dikenali Ustaz Yusri, dapat meneruskan legasi kepimpinan terbaik daripada Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Kami amat sayangkan arwah, kerana dia terlalu baik dan sentiasa menyantuni kami ketika dia menjadi wakil rakyat.
“Oleh itu, sekiranya Ustaz Yusri menang pada PRK kali ini, besar hati kami supaya Ustaz Yusri tidak lupakan kami di sini,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Jumaat.

Tambahnya, di perkampungan di sini, mereka mempunyai seramai 44 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 153 orang.
“Dari segi undi, sejak dahulu hingga sekarang, memang pilihan masyarakat Orang Asli adalah BN, parti keramat kami.
“Parti yang banyak berjasa..,” ujarnya.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pengundi Orang Asli di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kurong adalah seramai 105 orang.
Sementara itu, bagi Ngah Rozan Uda, 55, calon BN sememangnya dikenali masyarakat di situ sejak menjadi Setiausaha UMNO Bahagian.

“Malah, ayahnya, Haji Bakir, kami kenal sejak dahulu dan hubungan kepimpinan UMNO dan BN di sini dengan masyarakat Orang Asli setempat amat baik.
“Sejak dahulu lagi, kebajikan kami dijaga,” ujarnya lagi kepada TMP.
Yudith Ngah Shaari, 43, berkata, dia merupakan anak murid kepada Ustaz Yusri ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tan Dewa Sakti, di sini.

“Saya adalah anak didik Ustaz dan tidak menyangka beliau akan menjadi calon pada PRK kali ini.
“Sekiranya dia (Mohamad Yusri) menang, kalau boleh kami mahu dia teruskan berkhidmat seperti wakil rakyat terdahulu yang sememangnya terlalu baik dan rajin menyantuni kami,” katanya.
Sementara itu, ketika melakukan ziarah ke Kampung Orang Asli Sungai Kurong, Mohamad Yusri meminta supaya masyarakat Orang Asli terus menyatakan sokongan dan dokongan kepada beliau pada hari pengundian 26 April nanti.
“Saya yakin pada 26 April ini, anda semua akan turun memangkah mengundi saya.
“Sekiranya ditakdirkan saya menang, saya akan meneruskan segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Ishsam sebelum ini,” katanya ketika berucap pada pertemuan tersebut.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor.
Sementara itu, dalam majlis sama, Ramli turut menyatakan hasrat yang sama mewakili suara masyarakat Orang Asli di DUN Ayer Kuning khasnya agar terus menjaga masyarakat Orang Asli seperti dilakukan oleh Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Ayer Kuning.
“Kami Orang Asli tetap setia kepada BN. Janji jangan abai dan lupakan kami,” katanya ringkas tapi penuh bermakna.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi Orang Asli di DUN Ayer Kuning adalah seramai 2,438 pengundi di mana paling ramai adalah di PDM Kampung Simpang Tiga iaitu seramai 1,650 pengundi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Ishsam Shahruddin mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Susulan itu, SPR telah menetapkan 26 April ini sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Ayer Kuning melibatkan pertembungan tiga penjuru.




