
BARISAN Nasional (BN) bakal mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning pada 5 atau 6 April depan, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Pengerusi BN itu menjelaskan, pengumuman awal itu membolehkan calon menyesuaikan diri dan mempunyai lebih masa untuk mengenali pengundi.
Menurutnya, BN akan mengadakan majlis ringkas pengumuman calon pada tarikh berkenaan iaitu seminggu sebelum tarikh penamaan calon pada 12 April.
“Pengumuman ini supaya pengundi kenal siapa calon dan selepas hari penamaan, calon boleh terus berkempen.
“Ia juga bagi memudahkan calon menyesuaikan diri sebelum berkempen sekali gus dapat menyantuni seramai mungkin lebih kurang 31,000 pengundi di Ayer Kuning,” katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan dan Aidilfitri 2025, kepada warga emas, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim di Dewan Komuniti, Taman Kelab Tuanku, Mambau, hari ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohammad telah menyenarai pendek calon yang berpotensi layak dan boleh mewakili parti.
Tegasnya, setakat ini terdapat enam calon termasuk dari kalangan Pemuda UMNO disenarai pendek untuk PRK Ayer Kuning.
“Kepimpinan tertinggi akan meneliti setiap calon untuk memastikan kekuatan mereka dan boleh diterima pengundi,” katanya.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.



