
PUTRAJAYA – Malaysia dan Brazil akan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam perdagangan, pelaburan termasuk bidang semikonduktor serta industri petroleum dan gas.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Brazil Mauro Vieira di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Vieira tiba di Seri Perdana pada 11 pagi.
Anwar berkata, perkara lain yang dibincangkan ialah penyertaan Malaysia di bawah Kepengerusian G20 Brazil pada tahun ini.
Menurutnya, antara lain yang ditekankan, kepentingan menjadikan hubungan Malaysia-Brazil sebagai model kerjasama efektif dalam kalangan negara-negara Selatan Global.
“Antara bidang yang boleh diterokai bersama termasuklah pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), bidang sosio-ekonomi seperti perumahan dan pembasmian kemiskinan, serta kesenian dan kebudayaan,” katanya di Facebook pada Ahad.
Katanya, beliau dan Vieira juga bertukar pandangan terkait perkembangan serantau khususnya krisis kemanusiaan di Gaza, konflik Rusia-Ukraine, serta isu di Venezuela dan Myanmar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, turut dibangkitkan ialah mengenai permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS.
“Alhamdulillah, Mauro Vieira memberi jaminan bahawa pihak Brazil akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan penyertaan Malaysia dalam blok ekonomi ini,” katanya.
Beliau juga berkata, Vieira turut menyampaikan jemputan daripada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, untuk beliau hadir ke Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro pada November depan.








