
MELAKA – Pemakai kostum pontianak viral yang mesra dikenali sebagai ‘Ponti Jibam-jibam Melaka’ yang sering dilihat di Jalan Jonker, Banda Hilir, di sini, menerima anugerah khas sempena Majlis Apresiasi Media dan Komuniti anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh, pada Rabu malam.
Kelibat pontianak yang setiap malam menegur dan menghiburkan pelancong termasuk menyanyi, berpantun dan mengilai menjadi antara ikon di pusat pelancongan terbabit, diiktiraf sumbangannya kepada industri pelancongan negeri.
‘Pontianak’ itu, Mohd Saifen Mohamed, 40, berkata, dia terharu menerima anugerah berkenaan kerana tidak menyangka usahanya menceriakan pelancong mendapat pengiktirafan.
Menurutnya, pada awal, dia hanya melakukan tugas tersebut secara sambilan namun dengan pendapatan diterima, dia mula berhenti kerja di sektor awam untuk menjadi ‘pontianak sepenuh masa’.
“Idea kostum pontianak timbul bagi menampilkan kelainan di pusat pelancongan, tambahan saya memiliki dua gigi taring di bahagian atas. Ia agak menyeramkan apabila saya memakai pakaian putih berdarah, berambut panjang sambil mengilai,” katanya.
Anugerah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.