PUTRAJAYA – Kejayaan Politeknik Port Dickson diiktiraf sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Asia Pasifik oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC), melambangkan keunggulan pendidikan ditawarkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengiktirafan platinum diterima itu amat membanggakan kerana APACC adalah badan akreditasi yang dihormati di rantau Asia Pasifik, khususnya dalam bidang TVET.
“Pengiktirafan daripada APACC bukan saja melambangkan kualiti dan keunggulan pendidikan yang ditawarkan tetapi juga membawa makna bahawa standard institusi kita kini diiktiraf pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berharap pencapaian diperoleh Politeknik Port Dickson di Negeri Sembilan itu dapat menyuntik semangat serta inspirasi kepada semua institusi TVET di negara ini untuk terus berinovasi dan mencapai kecemerlangan lebih tinggi.
“Ini seiring agenda TVET negara dalam meningkatkan kualiti hidup graduan dan membina masyarakat yang berkemahiran tinggi.
“Syabas dan tahniah kepada Politeknik Port Dickson! ‘I’m really proud of this’. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk kita terus maju dalam membina masa depan yang lebih gemilang. Insya-Allah,” katanya.







