
PENAMPANG – Polis berjaya menumpaskan sindiket curi motosikal yang aktif di sekitar Penampang dan Putatan dikenali sebagai ‘Kumpulan Awen’ dan merampas enam motosikal bernilai RM40,000 dalam serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi berasingan, 18 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, susulan serbuan itu, lima lelaki tempatan ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di IPD Papar kira-kira pukul 4.30 petang.
“Hasil soal siasat ke atas kelima-lima suspek, polis berjaya menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai bertindak sebagai pembeli motosikal curi di daerah Kota Marudu.
“Turut dirampas motosikal pelbagai model yang ditemui di beberapa lokasi berasingan iaitu dua unit Yamaha Y15ZR, tiga unit Yamaha 135LC dan satu unit Yamaha 125Z dengan keseluruhan rampasan bernilai RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Menurut Sammy, siasatan awal mendapati ketua kumpulan berkenaan merupakan lelaki tempatan berumur 22 tahun dan mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kes curi motosikal dan dadah.
“Lima lagi rakan jenayahnya juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan sama manakala ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Kejayaan operasi ini menyaksikan polis berjaya menyelesaikan enam kes curi motosikal yang dilaporkan di sekitar daerah Penampang dan Kota Kinabalu,” jelasnya.
Kesemua suspek berumur 19 hingga 42 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Dalam pada itu, Sammy menyeru orang awam untuk terus bekerjasama dalam membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat melalui saluran yang sah.
“Polis terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan masyarakat diminta menjadi mata dan telinga pihak polis,” katanya.







