
PENAMPANG – Polis Penampang berjaya menahan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes curi kabel Telekom, di daerah berkenaan, pada Jumaat.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam kenyataannya berkata kes tersebut melibatkan seorang wanita warga tempatan yang berumur 25 tahun dan tiga lelaki.
“Pihak polis berjaya memberkas suspek selepas berlakunya aksi kejar mengejar lalu kenderaan yang dinaiki suspek terbabas ke arah sungai.
“Bagaimanapun tiga lagi rakan lelaki suspek berjaya melarikan diri.
“Pihak polis kemudian turut merampas pelbagai jenis barang antaranya seperti kabel telekom dan pemotong besi,”kata kenyataan itu.
Tambah IPD Penampang, tiga lagi suspek yang masih bebas kini sedang cuba dikesan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes atau lain-lain kes jenayah diminta untuk berkongsi dan menyalurkan maklumat di Balai Polis Penampang,” kata kenyataan tersebut.




