
TAWAU – Seorang lelaki warga asing yang didapati mengamuk di sebuah rumah di perkampungan Batu 3, Jalan Apas pada Rabu di sini berjaya diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada abang ipar suspek berumur 32 tahun kira-kira pukul 12.40 tengah malam.
“Abang ipar suspek menyatakan adik iparnya berumur 23 tahun itu bertindak agresif dan mengancam keselamatan ahli keluarganya.
“Sebelum itu, suspek turut bertindak mengamuk tanpa sebab dengan memecahkan peralatan di dalam rumah sehingga berlaku pergelutan antara mereka dalam usaha untuk menenangkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Jasmin, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) kemudiannya dikerah ke lokasi untuk menahan suspek.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh bahan terlarang dan akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan menyebabkan kerosakan harta benda dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.







