
KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan polis selepas video memaparkan dirinya memegang objek menyerupai pistol di persimpangan Jalan Keretapi di sini tular di media sosial.
Rakaman berdurasi sembilan saat itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam apabila ia mula dikongsi secara meluas.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan suspek tersebut mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.
“Hasil siasatan mendapati objek yang dipegang adalah pistol tiruan,” jelas beliau.
Ujar beliau, suspek tersebut turut mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya menunjukkan keputusan positif dadah.
Suspek kini direman selama tiga hari sehingga 23 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Turut dikenakan ialah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.
Polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Tan Kian Kok di talian 010-5661576, atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.






