KUANTAN – Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA) Wilson Chang ditahan polis bagi tujuan siasatan terhadap laporan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Menurut pentadbir Facebook Chow Yu Hui iaitu media sosial rasmi Ahli Parlimen Raub itu, penahanan kedua-dua mereka disahkan oleh peguam individu terbabit.
“Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance Tuan Wilson Chang telah disahkan oleh peguam bahawa ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, menghalang penjawat awam pada menjalankan kerja-kerja jawatannya.
“Kami akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan mengemaskinikan maklumat terkini melalui Facebook dan media secepat mungkin,” katanya dalam hantaran itu
Media sebelum ini melaporkan, polis akan memanggil lima individu termasuk Yu Hui bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, Yu Hui yang juga Penasihat SAMKA akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.




