
KOTA KINABALU – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular yang menunjukkan sekumpulan individu mengejar sebuah kereta jenis Perodua Viva, dipercayai terlibat dalam kes cubaan curi kabel di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 44 saat dan berlaku di Jalan Tuaran Bypass, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta yang kelihatan dalam video tersebut memang dikenal pasti digunakan oleh suspek yang disyaki cuba mencuri kabel.
“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan, iaitu khianat terhadap kemudahan awam. Jika sabit kesalahan, hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya boleh dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Kasim, pihak polis mengambil serius kejadian ini dan sedang giat mengenal pasti siapa individu yang terlibat serta motif sebenar mereka.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri, terutama yang melibatkan kekerasan, kerana ia boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
“Kita faham niat orang ramai yang mahu membantu, tetapi elakkan daripada ambil undang-undang di tangan sendiri.
“Sekiranya ada maklumat, orang ramai boleh terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau hubungi talian 088-529222. Segala maklumat akan dirahsiakan,” katanya.




