KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah dan Polis Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia terus memperkukuhkan kerjasama dalam menangani isu penyeludupan antara kedua-dua buah negara yang melibatkan jenayah rentas sempadan.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kunjungan timbal balas ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pasukan polis.
Menurutnya, Polis Kontinjen Sabah dan Kaltara akan mengadakan mesyuarat keselamatan rentas sempadan pada awal Jun ini.
“Kita ingin meningkatkan kerjasama antara dua pihak ini dalam menangani beberapa isu-isu melibatkan kedua-dua buah negara terutama sekali dalam isu penyeludupan serta juga isu berkaitan dengan jenayah rentas sempadan.
“Alhamdulillah melalui dua kunjungan yang dibuat secara timbal balas ini kita menetapkan untuk mengadakan satu mesyuarat khas,” katanya ketika ditemui media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini pada Isnin.

Tambahnya, mesyuarat yang dijadual berlangsung di Sabah itu juga akan melibatkan beberapa agensi berkaitan.
“Kita akan menyelaraskan SOP ataupun kerjasama berkaitan dengan bagaimana kerjasama untuk menangani isu-isu jenayah rentas sempadan.
“Jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan sama ada dari segi narkotik, manusia, barang-barang ataupun barang-barang lain yang terlarang,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jauteh menjelaskan kawasan rentas sempadan yang menjadi tumpuan kerjasama bermula dari kawasan Pulau Sebatik sehingga Long Pasia.
Tegas beliau, melalui kerjasama ini antara kedua-dua negara, kedua-dua pihak akan saling bertukar maklumat apabila berlakunya kes jenayah yang melibatkan kedua-dua negara.
“Sekiranya kalau kes itu berlaku di Sabah dan suspek bergerak ke Indonesia maka pihak Polis Sabah akan memohon kerjasama daripada pihak polis Indonesia melalui polis yang ada di Kaltara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Kapolda Kalimatan Utara, Inspektur Sudwijanto Jenderal Polisi Hary berkata, pentingnya memperkuatkan koordinasi dan komunikasi antara kedua negara dalam menangani berbagai permasalahan yang terjadi di sempadan.
“Kami percaya bahawa keselamatan tidak boleh dibina secara sendirian sebaliknya perlu kekuatan dan saling percaya serta komitmen bersama.
“Kami dari kedua-dua pihak polis berkomitmen untuk menyelesaikan semua masalah yang boleh diselesaikan bersama tanpa adanya saling curiga atau bersangka buruk,” ujarnya.
Oleh itu, kedua-dua pihak berharap media dapat memberikan kerjasama dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat sekali gus menyokong usaha pihak berkuasa menangani jenayah rentas sempadan ini.





