PUTRAJAYA – MCA mengesahkan Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun sudah memberi keterangan berhubung kenyataannya berkaitan isu serahan data peribadi pengguna di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada jam 2 petang tadi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan, Siew Mun disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan telefon bimbitnya turut dirampas bagi tujuan siasatan.
“Siew Mun telah menghubungi saya pada jam 2 petang tadi memaklumkan bahawa dia baru sahaja selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
“Diiringi oleh peguamnya, Kamarudin Ahmad, Siew Mun memberi keterangan kepada pihak polis dari jam 11.15 pagi hingga 1.15 tengah hari, dan kini sedang menikmati nasi kari di restoran berdekatan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Pengerusi Biro Penerangan MCA merangkap Setiausaha Agung Wanita MCA, Chan Quin Er bersama-sama kepimpinan Pemuda MCA dan pakar perundangan turut hadir ke Bukit Aman sebagai tanda solidariti untuk Siew Mun.
Ka Siong menjelaskan, Siew Mun dipanggil polis untuk memberi keterangan berkaitan video yang memetik laporan South China Morning Post serta mempersoalkan niat di sebalik arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data pengguna.
Beliau menegaskan MCA akan berdiri teguh bersama Siew Mun dan bersedia memberikan bantuan guaman demi mempertahankan ‘hak kebebasan bersuara rakyat’.






