
KANGAR – Polis merampas peralatan bernilai RM421,690 selepas tiga premis digunakan untuk perlombongan Bitcoin haram dibongkar dalam tempoh 48 jam baru-baru ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan Unit Risik Polis Marin Kedah/Perlis dan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam tempoh hampir dua bulan.
“Serbuan pertama dilakukan pada 13 November lalu di sebuah premis perniagaan di Kuala Perlis
yang membawa kepada rampasan 40 mesin melombong Bitcoin, 30 ‘blower’, komputer, router, kamera litar televisyen tertutup (CCTV) dan pelbagai peralatan lain.
“Pada 15 November, polis menyerbu sebuah lagi premis di Kangar Jaya dan menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang kemudiannya memandu arah pasukan operasi ke premis ketiga di Taman Putra Utama,” katanya semasa sidang akhbar di Balai Polis Simpang Empat di sini hari ini.

Tambahnya, serbuan susulan tersebut membawa kepada rampasan 72 mesin lombong Bitcoin, 36 ‘blower’, komputer, modem internet, CCTV, simkad serta sebuah telefon pintar.
Muhammad berkata pemeriksaan fizikal oleh TNB turut mengesahkan wujud penyambungan elektrik tidak sah di semua lokasi.
“Kegiatan sambungan elektrik haram bukan sahaja merugikan TNB malah mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat jika mengesyaki mana-mana premis terbabit dalam aktiviti berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.







