KUANTAN – Usaha murni dilakukan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat Triang, Bera, sentiasa mendapat perhatian ramai pihak.
Selain sering menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Sang Riang juga selalu dipilih agensi kerajaan dan orang perseorangan sebagai lokasi aktiviti mereka.
Terbaru, Polis Pahang juga melakukan kunjungan ke rumah kebajikan itu bagi menyantuni penghuni yang ditempatkan di situ.
Kunjungan berkenaan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Mohd Yusri Othman dan disertai pegawai dan anggota dari jabatan itu.
![]()
Mohd Yusri berkata, kunjungan terbabit adalah sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan dan keselamatan penghuni Sang Riang.
“Kunjungan ini sangat bermakna dan memberi peluang kepada warga polis Pahang, terutama dari bahagian JSJ memahami berkaitan operasi di Sang Riang,” katanya.
Turut serta Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkefli Nazir dan Timbalannya, Deputi Superintendan N Kumaran.
Rombongan itu disambut Pengerusi Sang Riang, Datuk Yap Yoke Moey dan pengurusan rumah kebajikan berkenaan.
Mohd Yusri memaklumkan, kunjungan itu juga bertujuan memastikan aspek keselamatan diberi perhatian pihak pengurusan Sang Riang.
“Ia adalah bagi memberikan keselesaan kepada penghuni dan keselamatan mereka juga dalam keadaan terjamin,” jelasnya.
Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang ketika ini menempatkan kira-kira 500 penghuni, daripada pelbagai bangsa dan agama,termasuk orang kurang upaya (OKU).
![]()
Sementara itu, Yoke Moey memberitahu, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselesaan dan keselamatan penghuni di situ.
“Aspek keselamatan menjadi keutamaan kami di Sang Riang selain memberi kelengkapan bersesuaian kepada penghuni di sini.
“Kami juga sangat terharu dan berterima kasih kepada pihak polis Pahang dan Bera kerana selalu mengambil berat terhadap keadaan semasa di Sang Riang,” katanya.
Beliau berkata, Sang Riang sudah beroperasi lebih dua dekad dan terus komited untuk memberi perkhidmatan jagaan terbaik kepada penghuni ditempatkan rumah kebajikan itu.



