
MIRI – Sebanyak 12 buah motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sekitar bandar raya ini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Miri, ASPMohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi bermula jam 11 malam hingga 3 pagi itu tertumpu di beberapa lokasi panas termasuk Tanjong Lobang, Piasau, Marina, Tudan dan Jalan Miri-Bypass.
Menurutnya, seramai 18 individu lelaki dan 15 buah motosikal telah diperiksa sepanjang operasi tersebut dijalankan.
“Hasil pemeriksaan, polis telah mengeluarkan sebanyak 34 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
“Manakala 12 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Farhan berkata, operasi seumpama itu merupakan usaha berterusan pihak polis dalam membendung kegiatan samseng jalanan selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain terjamin.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.
“Pihak polis mengingatkan agar tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan secara melampau atau berkumpul di tepi jalan sehingga mengganggu ketenteraman awam dan kelancaran trafik.
“Tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap ibu bapa atau pemilik kenderaan yang membenarkan individu memandu tanpa lesen di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegasnya.
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Foto: Facebook Polis Daerah Miri






