
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas barangan seludup bernilai RM8,332 dalam serbuan di kawasan perairan Pulau Nunuyan Laut pada Rabu.
Menurut PPM Wilayah 4 Sabah dalam satu kenyataan, pasukan tersebut mengesan objek mencurigakan melalui radar semasa rondaan sekitar pukul 9 malam dan segera menuju ke lokasi untuk membuat pemeriksaan terhadap sebuah bot.
“Hasil pemeriksaan, ruangan kargo bot tersebut didapati membawa beberapa jerikin minyak petrol, tangki petrol merah dan tong gas penuh yang disyaki tidak mempunyai dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kesemua barangan rampasan serta suspek telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut dan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.
Sehubungan itu, PPM Wilayah 4 Sabah menasihati orang awam agar tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang tersebut.




