
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya merampas sebanyak 87,200 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM174,700 dalam satu operasi di Kampung Sinar Baru Batu 12, di sini, pada Ahad.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul 11.04 pagi itu, anggota PPM menahan sebuah kenderaan selepas mengekori pergerakannya yang dipercayai terbabit dengan aktiviti perniagaan rokok seludup hasil maklumat yang disalurkan oleh orang awam.
“Semasa serbuan, kenderaan bersama rokok seludup berjaya dirampas, bagaimanapun pemilik kenderaan sempat melarikan diri.
“Kes kini disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nazri berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras kegiatan penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya.





