
KOTA KINABALU – Polis mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan kes mencuri dompet di Pasar Raya Emart Lintas Jaya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komosioner Kasim Muda berkata, suspek menggunakan kad kredit milik pengadu untuk membeli sebuah kipas angin dan membuat pembayaran di kaunter aras satu pasar raya berkenaan.
“Pihak polis menerima laporan daripada seorang pengadu berhubung kehilangan dompet miliknya yang berlaku di Pasaraya Emart Lintas Jaya, Kota Kinabalu, Sabah.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika pengadu sedang membuat pembayaran di kaunter bayaran pasar raya tersebut.
“Pengadu menyedari dompet miliknya yang disimpan di dalam beg sandang telah hilang.
“Dompet berkenaan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit Public Bank serta wang tunai dianggarkan berjumlah RM400,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Jelasnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita telah mengambil dompet pengadu tanpa disedari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Justeru itu, orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali individu yang terlibat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 bagi membantu siasatan.







