KLUANG – Polis Johor telah menerima enam laporan melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, daripada kesemua laporan, empat kertas siasatan kini dibuka melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 4a Akta Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat kenyataan bersifat jahat.
“Selain itu, polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 500 KK kerana fitnah.
“Keempat-empat kes ini sedang disiasat dan kita memberi jaminan bahawa pihak polis akan menyiasat dengan adil dan terperinci tanpa mengira perbezaan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media sempena Majlis Amanat Khas oleh Ketua Polis Johor di Sekolah Menengah Sains Sembrong, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, M Kumar berkata seramai 1,399 pegawai dan anggota akan digerakkan bagi memantau proses pembuangan undi sempena PRK DUN Mahkota, yang berlangsung esok.
Menurut M Kumar, pasukan ini akan ditempatkan ke lokasi strategik yang sering berlaku kesesakan serta berpotensi menjejaskan keselamatan awam.
“Saya memberi jaminan bahawa segala langkah keselamatan telah diambil bagi memastikan masyarakat dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam suasana yang selamat.
“Disamping itu, saya juga memberi jaminan bahawa sekiranya terdapat mana-mana kawasan yang terjejas banjir, bantuan segera akan disalurkan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihati calon dan penyokong parti agar terus memberikan kerjasama kepada agensi keselamatan dan mengelakkan sebarang provokasi dan perilaku yang menggugat ketenteraman awam.





