
TAWAU – Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas seberat 83.43 gram syabu bernilai RM8,000 dalam serbuan di kawasan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 30-an itu ditahan menerusi Ops Tapis selepas dikesan mencurigakan di kawasan itu kira-kira pukul 5.30 petang.
“Pemeriksaan lanjut pada beg sling hitam dipakai suspek menemui 15 peket plastik berisi hablur syabu dengan anggaran berat lebih 80 gram.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Sek 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Tegas Jasmin, pihaknya kini mengesan rangkaian pengedaran dadah di Tawau dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan bagi membanteras gejala dadah.







