GEORGE TOWN – Perikatan Nasional (PN) dilihat masih tiada arah dan gagal membaca realiti politik negeri ini apabila terus mengekalkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai pengerusi gabungan itu di Pulau Pinang.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang, Abrar Sadiq berkata, meskipun keputusan pelantikan semula itu dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti, namun ia seolah-olah mengetepikan suara ahli akar umbi Bersatu dan Pas.
Abrar berkata, ini kerana Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi di Pulau Pinang pada pilihan raya sebelum ini.
“Kami, sebagai komponen Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan (PH), melihat keputusan ini sebagai tanda bahawa PN semakin lemah serta tiada pemimpin yang berwibawa untuk mampu mencabar kestabilan kerajaan negeri hari ini.
“Rakyat Pulau Pinang sendiri telah menolak PN dengan jelas dalam dua pilihan raya lalu, dan trend itu menunjukkan penolakan terhadap politik sempit serta retorik kosong yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abrar berkata, pihaknya yakin bahawa rakyat negeri ini akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang matang, harmoni dan konsisten dalam membela semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Terdahulu, dalam kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini memaklumkan bahawa jawatan Pengerusi PN Pulau Pinang dikekalkan kepada Dominic.





