KLUANG – Perikatan Nasional (PN) mengakui bersikap ‘sembrono’ apa bila mendedahkan laporan polis kes pukul pada tahun 2008 yang mengaitkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.
Pengarah Bilik Gerakan Utama PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya hanya mendedahkan laporan butir kejadian tanpa mengetahui butir kejadian tersebut.
“Tak apalah, apa yang didedahkan oleh CheguBard itu berdasarkan laporan yang diterima dan kita serah kepada pihak berkenaan untuk mengesahkan perkara itu.
“Kita tidak membuat sebarang tuduhan dan ia berdasarkan laporan polis yang diterima.
“Ketika mendedahkan perkara itu, beliau juga menyebut rekod nombor laporan tersebut. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ceramah umum PN di sini, malam tadi.
Semalam, polis mengesahkan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah, tidak mempunyai sebarang rekod sabitan jenayah.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, nama Syed Hussien tidak terdapat dalam rekod sabitan jenayah yang di bawah kesalahan boleh daftar menurut Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).
Sementara itu, ditanya mengenai peringatan polis agar parti politik tidak membuat sebarang serangan ke atas calon pihak lawan, Azmin menafikan perkara itu.
“Kita tidak menyerang peribadi, ini berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh satu pihak kepada pihak berkuasa. Kita tidak membuat sebarang hukuman dan tuduhan.
“Kita hanya melaporkan apa yang dilaporkan. Itu sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ceramah kempen calon PN, Badrul Hisham atau dikenali Chegubard mendakwa Syed Hussien terbabit dalam satu kes pukul hingga ditangkap polis.
Susulan itu, Chegubard meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan terbabit selain turut menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis menyatakan Syed Hussien terbabit dengan kes jenayah itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, turut menafikan dakwaan pembangkang yang menyatakan bahawa Syed Hussien mempunyai rekod jenayah.
Beliau menganggap tindakan itu sebagai satu modal politik oleh pihak yang ketandusan isu bertujuan untuk merosakkan keyakinan terhadap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang tersebut.




