FELO Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan, menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ASEAN dengan cemerlang sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Menurut beliau, kehadiran ramai pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta wakil dari Brazil, Afrika Selatan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia membuktikan kewibawaan Malaysia dalam mengendalikan sidang kemuncak tersebut.
“Malaysia telah berjaya membawa ASEAN sebagai organisasi yang lebih dihormati, lebih penting.
“Bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malah di rantau Indo-Pasifik itu sendiri. Dengan kehadiran Presiden Trump, bukan sahaja Presiden Trump, tetapi dengan kebanyakan pemimpin yang dikatakan di luar, dikatakan rakan dialog ASEAN itu seperti Brazil, Afrika Selatan, IMF, ini mempamerkan pentingnya ASEAN.
“Dan ini kita perlu beri kredit kepada Malaysia sebagai pengerusinya. Dan memang tepat sekali kalau kita lihat dalam Sidang Kemuncak ASEAN ini, bukan satu dua mesyuarat, tetapi dikatakan berbelas-belas mesyuarat yang di mana Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN mempengerusikannya,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, pada Selasa.

Azmi berkata, komitmen tinggi Perdana Menteri yang mempengerusikan pelbagai mesyuarat sepanjang sidang tersebut menunjukkan kesungguhan beliau memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang berpengaruh.
“Jadi itu sahaja kita lihat, mungkin apa yang berlaku kepada Perdana Menteri beberapa hari lalu, dinasihatkan berehat adalah kerana rentetan daripada tiada hentinya mesyuarat.
“Tetapi hakikatnya adalah Malaysia telah meletakkan satu tangga arah yang tinggi bagi pengerusi ASEAN selepas ini, Manila, untuk dikatakan menjadi lebih baik daripada apa yang telah dibuat oleh Malaysia.
“Jadi, sebagai pengerusi, kita telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan jayanya,” katanya.
Beliau menegaskan, pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam memastikan ASEAN kekal relevan, stabil dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar dunia.








