
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan tahap persiapan dan sesi raptai sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Perdana Menteri merasakan persiapan sambutan berjalan lancar dan teratur. Beliau turut menzahirkan rasa teruja melihat semangat yang ditunjukkan oleh para peserta, khususnya dalam persembahan ‘Human Graphic’ yang melibatkan penyertaan anak-anak muda,” katanya.
Menurut Fahmi, Perdana Menteri juga menyeru semua Menteri Kabinet supaya meluangkan masa untuk hadir ke acara sambutan tersebut kerana ia merupakan acara kenegaraan yang amat penting bagi rakyat dan negara.
“Ini adalah acara nasional yang melambangkan perpaduan dan semangat patriotik rakyat Malaysia. Saya melihat Perdana Menteri amat berpuas hati dengan tahap persiapan yang ditunjukkan setakat ini,” ujar beliau.
Beliau turut menjangkakan kehadiran lebih 100,000 pengunjung yang akan memeriahkan acara sambutan tersebut, yang dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos ini.
Selain acara kemuncak perarakan, pelbagai program sampingan turut dirancang, termasuk penganjuran Riuh Merdeka, persembahan konsert, tayangan filem percuma, serta pertunjukan bunga api sebagai.





