
MIRI – Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang akan diadakan di pekarangan Boulevard Mall, Miri bermula 27 hingga 29 September.
Acara ini dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) serta kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah.
Tujuan program ini adalah untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara inisiatif yang akan diperkenalkan adalah sumbangan asas Rahmah, bantuan awal persekolahan, perkhidmatan pembiayaan mikro, Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030), dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Selain itu, PMR 2024 Sarawakku Sayang akan menyediakan lebih daripada 200 perkhidmatan kerajaan yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, tenaga dan air, pertanian dan keterjaminan makanan serta inisiatif hijau.
Pameran juga akan menampilkan pendidikan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Kecerdasan Buatan (AI) dengan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
Majlis perasmian akan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September dan dihadiri oleh pemimpin tertinggi kerajaan.
PMR 2024 Sarawakku Sayang merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Kuala Lumpur pada Disember 2023.




