
MASYARAKAT Islam di Korea Selatan menerima sumbangan al-Quran terjemahan bahasa Inggeris dan Korea daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyerahan itu dilakukan semasa pertemuan selama 30 minit dengan Presiden Persekutuan Muslim Korea (KMF), Hussein Kim Dong Eok.
KMF ialah badan rasmi yang diiktiraf sebagai pertubuhan payung yang mewakili masyarakat Islam di Korea Selatan.
“Saya berkesempatan bertemu Presiden Persekutuan Muslim Korea Hussein Kim Dong Eok dan delegasi usai pertemuan dengan syarikat dan badan perniagaan di sini.
“Kami sentuh mengenai masyarakat Islam di Republik Korea yang dianggarkan kira-kira 200,000 warga Korea dan asing yang menetap di Seoul sahaja sambil menekankan peri penting mengenai budaya wacana dan dialog antara agama bagi menyemarak sikap persefahaman yang tinggi dan mencambah toleransi,” katanya di Facebook pada Selasa.
Beliau juga menyifatkan pertemuan itu tidak hanya merapatkan silaturrahim tetapi membuka ruang agar kita menyemarak kasih sesama insan dan prinsip kemanusiaan sejagat antara negara.
Pada hari terakhir lawatannya ke Korea Selatan hari ini, Anwar dijadualkan menyampaikan syarahan umum khas bertajuk Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk “Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia” di Universiti Kebangsaan Seoul
Tetamu, termasuk pelajar Malaysia, pelajar tempatan dan antarabangsa, pengurusan kanan universiti, ahli akademik, penyelidik dan cendekiawan, dijangka menghadiri kuliah tersebut.
Anwar mengakhiri lawatan rasmi tiga harinya ke Korea Selatan hari ini berikutan jemputan daripada Presiden Yoon Suk Yeol.




