
PARIS – Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal, memaklumkan akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden, Emmanuel Macron, hari ini.
Tindakan itu dikatakan susulan keputusan pusingan kedua pengundian bagi pilihan raya Parlimen, semalam.
Bagaimanapun, Attal berkata, beliau akan menjalankan tugasnya selagi diperlukan.
Menurut Agensi Anadolu, Attal berkata, tiada kumpulan ‘ekstrem’ – merujuk kepada parti berhaluan paling kanan, National Rally (RN), dan pakatan berhaluan kiri, New Popular Front (NFP) – yang berjaya meraih majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan akan datang.
“Malam ini (malam tadi), formasi politik yang saya wakili dalam kempen kali ini, tidak berjaya mendapat majoriti. Saya akan mengemukakan peletakan jawatan saya kepada Presiden, pagi esok (hari ini),” katanya.
Menurut unjuran terkini berdasarkan anggaran syarikat peninjau, Ifop, NFP dijangka memenangi antara 180 hingga 205 kerusi dalam Dewan Nasional (Dewan Rakyat) di Parlimen.
Pakatan berhaluan tengah, Together for the Republic yang disokong oleh Macron pula diunjurkan menyusul di kedudukan kedua dengan diramalkan menguasai antara 164 hingga 174 kerusi, manakala RN pimpinan Marine Le Pen pula dijangka meraih antara 130 hingga 145 kerusi.
Dewan Nasional mempunyai sejumlah 577 kerusi, dan tiada dalam kalangan ketiga-tiga blok politik utama itu diunjurkan memperoleh majoriti mutlak membabitkan 289 kerusi.









