
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan untuk meminda perlembagaan parti.
Kongres berkenaan diadakan selepas Kongres Nasional PKR 2024 yang dijadualkan di Johor hari ini tetapi ditangguhkan berikutan banjir yang melanda beberapa negeri.
Anwar yang juga Presiden PKR disambut oleh pemimpin tertinggi parti termasuk Timbalan Presiden Rafizi Ramli ketika tiba di kongres yang dijalankan secara hibrid memandangkan ada perwakilan dari negeri yang dilanda banjir.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil.
Sebelum ini, Fuziah dilaporkan berkata, Kongres Khas itu antara lain akan membuat pindaan kepada perlembagaan parti berkaitan bilangan perwakilan, serta kuota gender dan etnik.



