
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan membuat satu pengumuman istimewa berkaitan usaha menangani beban kos sara hidup rakyat dalam tempoh terdekat.
Menurut Anwar, pengumuman itu dijangka dibuat dalam masa dua hingga tiga hari lagi, sama ada pada Isnin atau Selasa.
Bagaimanapun, beliau memohon sedikit masa bagi memastikan butiran pengumuman berkenaan dapat disediakan secara lebih terperinci dan menyeluruh oleh pasukannya di Kementerian Kewangan.
“Masalah utama negara kini ialah kos sara hidup. Kita nak naikkan gaji dan elaun penjawat awam sebanyak RM10 bilion tahun ini, dan tambahan RM18 bilion tahun hadapan. Belum termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM13 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM23 bilion.
“Kenaikan kos sara hidup bukan berlaku di negara kita sahaja, malah di seluruh dunia. Namun, saya sedang mencari jalan dan ikhtiar untuk menanganinya.
“Setiap hari Kementerian Kewangan bergelut mencari pendekatan yang boleh diumum dalam masa singkat. Pengumuman itu mesti besar, jadi kita perlu mantapkan dahulu isi kandungannya. Doakan agar semuanya berjalan baik,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI, dan Projek Perumahan JKPSB yang berlangsung di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri turut memaklumkan melalui hantaran di laman Facebook bahawa beliau akan membuat satu pengumuman besar sebagai tanda penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia. Namun begitu, perincian mengenai bentuk penghargaan tersebut masih belum didedahkan.






