
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa agar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dikurniakan kesihatan yang berterusan selepas menjalani satu prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Ucapan doa tersebut dikongsikan oleh Anwar menerusi satu hantaran ringkas di platform media sosial X hari ini, susulan laporan media yang memaklumkan bahawa Abdul Hadi kini berada dalam keadaan baik selepas menerima rawatan.
“Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Hj Hadi, Insya-Allah,” tulis beliau ringkas dalam ciapan tersebut pada Rabu.
Tindakan Perdana Menteri itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang menyambut baik sikap terpuji beliau yang menzahirkan keprihatinan meskipun berbeza pendirian politik, mencerminkan nilai kemanusiaan dan adab dalam hubungan antara pemimpin negara.
Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan telah menjalani rawatan perubatan di IJN dan kini dalam keadaan stabil.
Beliau pernah menerima rawatan susulan di IJN, dengan kali terakhir dilaporkan menjalani rawatan berkaitan pada 5 Januari tahun lalu.
Selain itu, Abdul Hadi juga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum ini, termasuk pada tahun 2014 dan 2021 akibat masalah sesak nafas, serta pada tahun 2023 disebabkan demam.




