
KERAJAAN Perpaduan merupakan koalisi yang cukup kuat untuk menerajui negara sekali gus simbol kesepakatan yang mewakili semua kaum di Malaysia.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, parti itu akan terus mendukung dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan tampuk pemerintahan terus dikuasai Kerajaan Perpaduan.
“Semalam saya telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Setiawangsa. Terima kasih kepada sahabat saya YB Nik Nazmi, Ketua Cabang kerana telah mengundang saya untuk bersama-sama dengan Cabang Setiawangsa.
“Dalam ucapan, saya ingatkan ahli parti supaya sentiasa bersatu padu dan terus memperkasa Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah, kestabilan ini akan terus dijaga demi kemakmuran yang membawa manfaat dan perubahan terutama dari aspek pembangunan kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memiliki 18 gabungan parti yang mewakili pelbagai kaum di Malaysia.
Untuk rekod, empat gabungan politik utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GPS, GRS dan parti Warisan yang membentuk Kerajaan Perpaduan telah menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama pada 16 Disember 2022 bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.






