
LAHAD DATU – PKR Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PKR Pusat bagi menentukan hala tuju gabungan kerjasama UMNO mendepani Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Timbalan Bendahari PKR Sabah, Datuk Nordin Ening juga percaya keputusan itu turut mengambil kira pandangan pemimpin Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR.
“Kerjasama UMNO-PH ini di peringkat pusat akan buat keputusan selepas merujuk kepada pandangan MPN yang baharu nanti.
“Berkenaan calon kita ada biro politik yang akan meneliti calon sesuai untuk bertanding dan perkara itu akan dirujuk di peringkat pusat untuk diputuskan kerana penandatangan watikah adalah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Silam bagi mengulas khabar angin UMNO bersama PH pada PRN kelak.
Sementara itu, Ketua Cabang Silam, Romansa Lamin semasa berucap berharap agar PKR Cabang Silam diberikan peluang bertanding sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Lahad Datu.
Katanya, harapan itu sebagai momentum semangat perjuangan parti dan dibuktikan melalui pilihan raya negeri.
“Kita akan berusaha sekurang-kurangnya satu kerusi DUN diberi pada kita (Cabang Silam) untuk ditandingi, tetapi berkaitan calon, kemudian.
“Kita akur dan terima arahan Pusat dan negeri, siapa-siapa calon, kita kena beri sokongan penuh untuk kemenangan parti,” ujarnya.
Untuk rekod, terakhir PKR Silam bertanding pada Pilihanraya Umum Ke-13 (2013) memperoleh 9,671 undi melalui Badrulamin Bahron, bagaimanapun keputusan menang memihak kepada calon Barisan Nasional ketika itu, Datuk Nasrun Datu Mansur dengan 13,387 undi.








