
LAHAD DATU – PKR Sabah stabil, bersatu padu dan sentiasa fokus dalam memperkukuh jentera dan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Demikian dinyatakan Ketua PKR Cabang Lahad Datu, Romansa Lamin yang menepis dakwaan laporan media kononnya wujud pergolakan dalaman serta bantahan besar-besaran dalam kalangan kepimpinan PKR Sabah.
“Tumpuan kami kini ialah memperkukuh jentera di setiap peringkat dan memastikan PKR terus menjadi wadah utama perjuangan rakyat Sabah.
“Kita tidak akan terpengaruh dengan spekulasi atau cubaan untuk memecah-belahkan parti,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Romansa menyifatkan dakwaan pergolakan parti itu tidak berasas dan sama sekali tidak mencerminkan suasana sebenar dalaman parti.
“Pertemuan antara pimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah dan Ketua-Ketua Cabang baru-baru ini berlangsung dalam suasana harmoni dan semangat kesiapsiagaan menghadapi PRN17 yang bakal tiba.
“Tiada sebarang ketegangan seperti yang cuba digambarkan,” katanya.
Tegasnya, PKR Sabah tetap berdiri teguh di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar serta pimpinan negeri sedia ada.
“Kerjasama yang utuh ini bakal memperkukuh kekuatan parti serta memastikan gerak kerja pilihan raya lebih tersusun dan berstrategi demi mencapai kemenangan.
“Semua anggota parti dan penyokong perlu bersatu hati, memperkukuh perpaduan dan kekal fokus demi memastikan perjuangan parti terus utuh serta relevan di hati rakyat,” ujarnya.







