
KOTA KINABALU – PKR Sabah menghormati keputusan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk berundur daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana diumumkan melalui kenyataan Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sepanjang penyertaan UPKO dalam PH sejak tahun 2019, kerjasama erat dijalinkan antara pimpinan, jentera serta wakil rakyat di pelbagai peringkat khususnya dalam memperjuangkan agenda reformasi, tadbir urus baik dan pembangunan inklusif di Sabah.
“Atas dasar itu, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick serta seluruh kepimpinan dan ahli UPKO atas sumbangan, komitmen dan kebersamaan mereka dalam tempoh tersebut.
“PKR Sabah berpendirian bahawa perjuangan untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Sabah, pengukuhan autonomi serta pembangunan sosioekonomi Sabah yang adil tidak harus menjadi punca perpecahan.
“Tetapi sebaliknya menjadi asas penyatuan dalam semangat federalisme yang matang dan saling menghormati,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Justeru, beliau berkata, PKR Sabah menyeru agar semua parti termasuk UPKO, terus meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan serta meneruskan kerjasama dalam ruang kebersamaan yang lebih luas di bawah semangat perpaduan dan reformasi nasional.
“Harapan orang Sabah, Sabah maju bersama MADANI,” tambahnya.







