
KANGAR – Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri menerima keputusan pimpinan pusat yang merestui penyertaan bekas Timbalan Menteri Komunikasi, Datuk Zahidi Zainul Abidin ke dalam parti itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perlis, Noor Amin Ahmad, memaklumkan bahawa PKR sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai parti berkenaan.
“Kemasukan Zahidi ke dalam PKR melalui proses permohonan biasa dan telah diluluskan di peringkat pusat. Sebagai ahli parti, jika penyertaan beliau mampu memperkukuhkan parti, saya amat mengalu-alukannya.
“Sebagaimana yang diketahui, PKR bukanlah sebuah parti yang terkenal dengan dana yang besar. Di Perlis sendiri, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk memperkukuhkan parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Noor Amin, Perlis sebelum ini pernah mempunyai lebih 60 ranting. Namun, selepas krisis politik beberapa tahun lalu, berlaku pergerakan keluar masuk parti dan kini usaha penyelarasan sedang dilakukan di peringkat negeri.

Untuk rekod, Zahidi pernah menjawat jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dan Timbalan Menteri Komunikasi dari 2021 hingga 2022.
Ketika ditanya sama ada pengaruh Zahidi mampu memperkukuhkan PKR, khususnya di Padang Besar, Noor Amin berkata, perkara itu bergantung kepada kerja keras dan usaha yang dilakukan.
“Senario politik kini tidak sama seperti dahulu. PKR perlu bekerja keras untuk memastikan penerimaan rakyat terhadap perjuangan parti ini.
“Kami kini mempunyai kelebihan sebagai kerajaan dan banyak perkara perlu dilakukan untuk memberi kefahaman kepada rakyat mengenai usaha yang dilaksanakan kerajaan,” jelasnya.
Terdahulu, Zahidi mengumumkan penyertaannya ke dalam PKR dan menyatakan hasrat untuk membantu memperkukuhkan gabungan PH-BN di Perlis.
Zahidi optimis bahawa kepimpinan PH-BN adalah gandingan terbaik untuk merampas semula Perlis daripada Perikatan Nasional (PN). Beliau turut mengkritik pentadbiran PN di Perlis yang didakwa tidak membawa sebarang perubahan dalam usaha menjana pendapatan negeri atau membantu rakyat.







