
KOTA BELUD – PKR Kota Belud terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan agenda reformasi serta memperjuangkan kesejahteraan rakyat.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah merangkap Ketua Cabang Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud berkata, PKR perlu terus diperkasakan bagi mencapai objektif perjuangan dalam membela kepentingan Melayu serta Bumiputera Sabah.
“PKR bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi wadah perjuangan yang telah melakar sejarah dalam landskap politik negara.
“Di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR menjadi suara rakyat, memperjuangkan keadilan sosial dan memperkukuh prinsip demokrasi,” katanya ketika dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kota Belud, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, mesyuarat kali ini turut sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden PKR.
“Sokongan ini didorong oleh komitmen beliau dalam noktahkan kemiskinan tegar, khususnya di kawasan luar bandar, melalui pelbagai inisiatif bantuan bersasar.
“Antara program yang telah dilaksanakan kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, Skim Perubatan Madani serta Dermasiswa B40.
“Program tersebut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar,” katanya lagi.
Tegas beliau, ahli dan penyokong parti perlu terus menyokong agenda reformasi serta prinsip keadilan sosial yang diperjuangkan sejak sekian lama.







