
PAPAR – PKR Cabang Kimanis mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Papar bagi mengeratkan hubungan kerjasama khususnya dalam aspek sosial, kemasyarakatan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah depan.
Ketua Cabang Kimanis, Niki Mohan Singh Ramday berkata, kunjungan itu juga menjadi platform awal bagi merancang palaksanaan program-program kolaborasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara PKR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam aspek sosial, kemasyarakatan dan kesiapsiagaan PRN17.
“la juga menjadi platform untuk merancang kolaborasi bersama dalam program sukarelawan dan khidmat komuniti yang memberi manfaat terus kepada masyarakat setempat khususnya di Parlimen Kimanis,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, antara program yang dirancang ialah misi bantuan bencana, bantuan bakul makanan, Program Pemimpin Masuk Kampung dan beberapa program lain.
Tambahnya, Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka turut menyambut baik inisiatif kolaborasi yang dibincangkan dan berharap agar kerjasama sedemikian dapat memperkukuh jaringan sokongan antara agensi keselamatan dan pertubuhan bukan kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.
Sebagai rekod, kunjungan hormat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada Rabu turut dihadiri lapan ahli Jawatankuasa Cabang.





