
JOHOR BAHRU – Kewujudan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030 bakal meletakkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal inklusif.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan yang dijangka dilancarkan pada tahun ini bakal memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi halal seterusnya menjadi contoh pembangunan ekonomi Islamik progresif di Malaysia.
“PKHNJ 2030 digubal untuk memperkasa ekosistem halal secara menyeluruh, bermula daripada penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, penghasilan produk bertaraf global hingga pembinaan rangkaian keusahawanan tempatan yang kompetitif.
“Selain itu, pelan berkenaan bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang serta berinovasi seiring dengan kehadiran banyak pelabur ke Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebook rasminya ketika mempengurusikan mesyuarat PKHNJ di Iskandar Puteri, di sini, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, antara inisiatif utama dalam PKHNJ adalah sasaran pendaftaran 500 syarikat halal setiap tahun, mempercepatkan proses pensijilan dan menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan agar mampu menembusi pasaran lebih luas.
Katanya, Kerajaan Negeri bersama PIJ Holdings Sdn. Bhd., PIJ Halal Ventures Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat-syarikat yang telah berjaya supaya dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan serta pengembangan pasaran.







