
KOTA KINABALU – Tiga daerah iaitu Pitas, Paitan dan Kota Marudu diisytiharkan sebagai daerah bencana banjir.
Notis pengisytiharan tersebut dikeluarkan pada jam 6 pagi hari ini (20 Februari 2026) selepas menerima laporan serta maklumat di lapangan daripada agensi-agensi terlibat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Pengisytiharan bencana banjir masing-masing dibuat oleh Pegawai Daerah merangkap Pengerusi JPBD iaitu Meirin Sugara (Kota Marudu), Asdi @ Mohd Faizal Hussin (Pitas) dan Joloning Joe Majambu (Paitan) pada waktu yang sama.

Joloning berkata, beberapa kawasan di daerah Paitan dikenalpasti sebagai kawasan hotspot mula terjejas.
Manakala di Kota Marudu, terdapat empat kawasan terjejas iaitu Kg Beliajung, Kg Boruol, Kg Tandek dan Kg Marasinsim.
Pihak berkuasa daerah bersama agensi keselamatan dan penyelamat kini giat memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas terus terjaga.





