
PENSIANGAN – Rakyat di Pensiangan perlu membuat keputusan dengan memilih parti yang tepat demi pembangunan di kawasan terbabit.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Peto Galim berkata, pemilihan parti ini bagi membantu masyarakat untuk potensi ekonomi menerusi sektor pertanian dan perikanan.
“Pensiangan kaya dengan tanah subur dan sumber alam namun kejayaan memerlukan usaha gigih daripada masyarakat.
“Adalah digalakkan kerjasama antara kerajaan, masyarakat, dan pemimpin tempatan untuk pembangunan selain Ketua Kampung atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung berusaha mendapatkan bantuan dari wakil rakyat atau kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian semasa berucap menerusi Program Santai Nelayan Darat Mukim Pensiangan Sabah di sini pada Jumaat.
Menerusi program itu, kira-kira 100 nelayan memohon Lesen Nelayan Darat atau Sungai bagi mendapat insentif yang disediakan kerajaan.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Pensiangan, Raymond Ahuar berharap agar beberapa perkara yang diutarakan diberi perhatian Kerajaan Madani antaranya meluluskan permohonan Lesen Nelayan Darat atau Sungai serta menjadikan Sungai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan menjadi sumber ekonomi setempat.







