PUTRAJAYA – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 400 batang kayu balak pelbagai saiz serta beberapa mesin berkaitan dalam serbuan di sebuah kilang kayu disyaki beroperasi secara haram di Kampung Tok Limin, dekat Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan oleh sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada 10.45 pagi itu dilaksanakan menerusi Op Bersepadu Khazanah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan tidak memiliki lesen sah dari Jabatan Perhutanan dan mendapatkan bekalan kayu tanpa permit serta tidak bercukai dari kawasan sekitar.
“Empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 67 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kayu, jentera dan mesin pemproses kayu dianggarkan berjumlah RM1.17 juta,” katanya dalam kenyataan semalam.
Nik Ros Azhan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 93(2) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.



