
SEMPORNA – Cawangan Risik Task Force Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak bersama Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai RM95,320 di Semporna, pada Sabtu.
PGA Kunak dalam satu kenyataan berkata, menerusi operasi bersepadu Taring Alpha 1 di hadapan sebuah pondok bas ekspres itu, seorang lelaki turut ditahan sebaik rokok berkenaan ditemukan dalam kenderaan dipandunya.
“Pegawai risik telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan memaklumkan tujuan pemeriksaan dijalankan.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemukan sejumlah besar rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai disimpan di tempat duduk penumpang belakang serta di bahagian bonet kenderaan,” kongsi kenyataan tersebut, pada Sabtu.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan usaha risikan akan diteruskan bagi mengesan individu serta rangkaian lain yang dipercayai terlibat.




