KUCHING – Petroleum Sarawak Berhad (Petros) merupakan agregator gas tunggal berhasrat membuka lebih 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi selaras usaha mempercepat pembangunan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi, Petros juga akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak lapan peratus setahun.
Selain itu, Julaihi turut menjelaskan peranan Petros sebagai agregator gas tunggal untuk menjalankan aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan; ADUN Daro, Safiee Ahmad; ADUN Tellian, Royston Valentine dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee mengenai kemajuan terkini pelantikan Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak pada persidangan DUN pada Rabu.
Sementara itu, Julaihi berkata, pelantikan Petros sebagai agregator gas tunggal membolehkan memacu perkembangan ekonomi Sarawak sekali gus menyumbang pendapatan baharu.
“Pelantikan Petros mampu mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi,” ujar beliau.





