
BARAM – Petronas meneruskan usaha membantu masyarakat luar bandar melalui program khidmat komuniti di bawah inisiatif Memacu Kehidupan, yang diadakan di Kampung Uma Akeh, pada Khamis.
Program itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang, dan menumpukan usaha menyalurkan bantuan secara langsung kepada penduduk pedalaman.
Seramai 70 penduduk daripada lima kampung di Baram Hilir menerima bakul makanan yang disumbangkan oleh Petronas melalui operasi Sarawak Shell Gas Plant (SSGP).
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Uma Akeh, Kampung Long Ikang, Kampung Long Puak, Kampung Long Banyok dan Kampung Logan Sibong.
Dalam ucapannya, Dominic berkata, program berkenaan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, khususnya menjelang musim perayaan Krismas.
“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban penduduk yang memerlukan dan memberi kelegaan kepada keluarga kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa penglibatan sektor korporat dalam program kebajikan melengkapkan usaha kerajaan dalam menjaga kesejahteraan masyarakat luar bandar dan pedalaman.
“Kerjasama antara sektor korporat dengan kerajaan amat penting bagi memastikan kebajikan masyarakat luar bandar, khususnya di Baram, terus diberi perhatian,” ujarnya.
Program ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara pihak korporat, pentadbiran daerah, agensi keselamatan serta kepimpinan komuniti setempat.

Program Memacu Kehidupan itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 250 penduduk, sekali gus mencerminkan sokongan masyarakat terhadap inisiatif kebajikan yang dilaksanakan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



